tabung masa depan

Saturday, January 1, 2011

Di sebalik nama suami ku..apittt

Di Sebalik Nama: Semangat Apit
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
2011/01/01

Animasi orang lidi permulaan Hafiizh terokai teknik CGI dalam filem, drama

BUKU tebal milik bapanya dulu habis berconteng dengan lakaran objek seperti bola yang melantun dan orang lidi bertinju. Beliau melukis objek ini di setiap helaian muka surat kerana hendak menjadikannya kartun animasi yang bergerak apabila helaian buku diselak laju.
Itulah hobi masa lapang Mohammad Hafiizh Abd Hamid atau Apit, 33, ketika di sekolah menengah selepas mengetahui teknik mudah untuk menghasilkan kartun animasi sendiri. Selepas itu, Apit teringin pula hendak mempelajari teknik CGI (computer generated imagery) selepas menonton rancangan kartun yang dihasilkan menggunakan teknik itu. Bagaimanapun, hasratnya itu tidak kesampaian kerana tidak tahu maklumat iaitu tempat beliau boleh mempelajarinya kerana ketika itu masih belum miliki kemudahan internet.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Apit meneruskan pengajian dalam bidang pengaturcaraan perisian di Institut Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat, Bukit Beruang, Melaka yang kini dipanggil Universiti Multimedia (MMU).

Beliau memilih pengaturcaraan perisian ini kerana beranggapan dapat mempelajari selok-belok CGI daripada jurusan itu, tetapi hampa. Lalu, beliau menukar jurusan ke fakulti Multimedia Kreatif yang baru ditubuhkan dan mempelajari semua perisian dan teknik seperti yang diimpikannya sejak di bangku sekolah itu.

Tamat pengajian, beliau menyertai MMU sebagai tenaga pengajar untuk kelas tutorial dan sempat berkarya secara sambilan bagi memastikan kemahirannya tidak ‘berkarat.’

Dari situ juga, beliau mula mendapat peluang untuk menghasilkan pelbagai karya 2D, 3D dan sebagainya.
Antara karya yang pernah dihasilkan Apit secara bersama dengan artis lain adalah video muzik kumpulan TYCO yang mana beliau ditugaskan mereka karakter dalam video itu.

Selain itu, beliau juga pernah terbabit dalam pembikinan siri televisyen berjudul Mr Ice, siri Tandania, siri Kapten Boleh, kempen pengguna bijak Smart Generation, kempen CyberSecurity, iklan minuman tenaga Volcano serta kesan CGI untuk filem Impak Maksima. Terkini, beliau sedang sibuk dengan proses pasca produksi untuk filem Mantera, filem berunsur robot yang mana beliau bertindak sebagai Pengarah Teknikal.

Jom selami idea sambil kenali diri lelaki kreatif ini....

Antara banyak-banyak karya yang pernah anda hasilkan, karya manakah paling memberi kepuasan kepada anda dan mengapa?

Boleh dikatakan, saya berpuas hati dengan semua karya atau projek yang pernah saya lakukan. Sebabnya, saya berpeluang untuk mencuba bermacam-macam teknik baru yang berbeza dengan projek sebelumnya. Sebagai contoh, untuk siri televisyen Mr Ice, saya menghasilkan lukisan dua dimensi (2D) untuk karya berkenaan. Untuk iklan televisyen minuman tenaga Volcano pula, saya berpeluang menggunakan teknik ‘cloth simulation’ manakala bagi kempen SmartG saya dapat menggunakan teknik ‘live action camera tracking.’

Apakah proses kerja yang biasanya anda lalui untuk menyiapkan sesebuah karya. Berapa lama tempoh masa yang selalunya anda ambil untuk menyiapkan karya?

Kebiasaannya, tempoh masa untuk menyiapkan karya akan ditentukan oleh pelanggan. Daripada tempoh yang ditetapkan itu, selalunya saya akan peruntukkan separuh untuk membuat penyelidikan, pembangunan serta perancangan dan selebihnya untuk pelaksanaan. Seboleh mungkin, saya akan mengamalkan cara ‘parallel pipeline’ dalam penghasilan kerja supaya sebarang perubahan masih boleh dilakukan walaupun waktu tarikh akhir sudah hampir.

Bagaimanakah anda mendapatkan sumber idea dalam berkarya?

Satu di antara cara untuk saya mencari sumber idea untuk berkarya adalah dengan membuat penyelidikan di enjin carian internet. Kalau tidak pun, satu lagi cara mudah untuk saya memperoleh idea adalah dengan berangan. Kebanyakan masa, kerja saya banyak membabitkan penyelesaian masalah teknikal. Pada pendapat saya, Malaysia mempunyai banyak idea yang bagus tapi kadangkala bila berdepan dengan masalah yang terlalu teknikal, kita akan memilih untuk tidak meneruskan pelaksanaan idea berkenaan atau mengambil jalan yang lebih mudah. Bagi saya, kepuasan akan dapat diperoleh apabila saya berjaya menyelesaikan sesuatu masalah itu.

Setakat pembabitan anda hingga ke peringkat ini, apakah cabaran yang dihadapi?

Secara umum, cabaran yang paling banyak dilalui adalah kekurangan tenaga kerja manakala secara khususnya, adalah kekurangan ilmu dan kemahiran. Dalam bidang 3D, penyelesaian masalah adalah dalam bentuk matematik. Disebabkan itu, secara peribadi, saya rasakan yang perisian 3D adalah alat terbaik untuk mengajar matematik. Sekarang ini, jika hendak diumpamakan, tahap masalah yang boleh saya selesaikan baru di tahap sekolah menengah. Satu lagi cabaran dalam bidang ini adalah khalayak penonton Malaysia sudah biasa dengan kesan visual yang bernilai ratusan juta yang dihasilkan Hollywood. Namun, saya masih berharap kesan visual yang kita hasilkan mampu menyamai kesan visual Hollywood walaupun kos yang dikeluarkan jauh lebih rendah.

Apakah pula pengalaman berharga yang pernah anda peroleh?

Pembelajaran pelbagai dimensi sejak mula-mula menyertai bidang ini sehingga kini. Bagi saya, apa saja yang dipelajari sepanjang hidup pasti berguna makan perkara paling seronok adalah bila dapat mempelajari sesuatu yang baru. Misalnya, untuk melukis bangunan secara 3D, perlu belajar ilmu seni bina sedikit, untuk melukis karakter, mesti belajar ilmu anatomi sedikit. Tak terhingga bilangannya benda baru yang boleh kita pelajari dengan pemerhatian yang teliti. Sesungguhnya, ilmu Allah itu tidak terhitung banyaknya.

Untuk akan datang, apakah yang anda rancangkan, dari segi karya dan kerjaya anda.

Saya ingin belajar semula ilmu pengaturcaraan (programming) dan juga matematik. Sedar tidak sedar, generasi kita dan anak-anak kita sudah diasuh dengan acuan kartun dari Barat dan juga Jepun. Walaupun ada nilai murni dipaparkan dalam karya berkenaan tapi banyak juga nilai yang bercanggah dengan nilai Islam dan nusantara. Sebagai sebahagian daripada pengkarya, saya akan cuba sedaya upaya untuk menghasilkan karya yang selari dengan nilai yang sepatutnya.

Ceritakan serba sedikit tentang pembikinan filem Mantera setakat ini. Apakah yang menarik di sebalik penghasilannya.

Mantera masih lagi dalam peringkat pasca produksi atau lebih tepat lagi rujukannya sebagai heavy post production. Apa yang menarik sepanjang terbabit dalam projek ini adalah bila dapat bekerjasama dengan ramai individu berbakat besar dalam pembikinan filem istimewa ini daripada peringkat awal sehingga akhir. Cara dan hasil kerja mereka cukup mengagumkan.

Profil

Nama: Mohammad Hafiizh Abd Hamid
Tarikh lahir: 25 April 1978
Umur: 33 tahun
Asal: Jitra, Kedah

No comments: